Alhamdulillah dan syukur yang satu babak.

23 Ogos 2021

Hari ini aku terima satu lagi berita kegagalan diri sendiri. 

Dan seperti hari-hari kebiasaannya, aku menung dan minda luar sedar aku pelan-pelan memulakan proses refleksi diri. 

Aku tersedar betapa selama hidup ni teramat sering Alhamdulillah dan syukur aku selalu bersifat satu babak sahaja. Bermaksud ketika menerima satu-satu nikmat, aku akan sujud dan akan ucap Alhamdulillah sebagai tanda bersyukur. Tetapi seterusnya aku akan hidup dengan gaya yang tidak memaknai rasa dan jiwa kesyukuran itu a.k.a senang cerita aku kembali tidak bersyukur.

Contoh, tidak banyak bulan yang lalu aku ditawarkan satu pekerjaan di company yang sangat baik, jawatan yang baik, gaji juga merupakan yang terbesar pernah aku terima. 

Ya, ketika menerima tawaran itu, aku merupakan hamba paling bersyukur dan aku merasakan betapa Allah itu Maha Dekat dan Maha Berkuasa untuk memakbulkan doa hambaNya. Tapi syukur aku setakat itu sahaja.

Apabila sudah mula bekerja beberapa bulan, aku mula bersikap malas dan bekerja secara sambil lewa dan lupa sepenuhnya bahawa ini adalah peluang dan rezeki yang aku doakan selama ini. Allah sudah makbulkan, dan sesungguhnya tangan aku sendiri yang mengundang kebinasaan.

Walhal sekiranya aku betul-betul bersyukur, sepatutnya aku lebih bersedia untuk komited, sentiasa fokus dan ingin memberikan yang terbaik. Setidaknya, itulah manifestasi syukur dalam kadar minima. 

Aku tulis ini hari ini supaya satu hari nanti aku boleh baca semula dan tidak buat kesilapan yang sama apabila dikurniakan nikmat, tidak kira banyak atau sedikit. 

Semoga ini jadi permulaan untuk diri aku kembali mengenal erti syukur. 




Comments